Kewajipan Jaga Ibu Bapa

Maklumat Semasa - Ungkapan reda ALLAH SWT berada pada reda ibu bapa, syurga di bawah telapak kaki ibu, kasih ibu bawa ke syurga dan kasih bapa kekal selamanya menunjukkan betapa ibu bapa perlu diberi status kedudukan yang amat mulia.
Kerana itulah, Islam meletakkan ibu bapa pada status tertinggi dalam kehidupan seorang anak selain Tuhan dan Nabi-Nya. Sedar atau tidak, kita selamanya adalah anak kepada kedua ibu bapa; sama ada mereka masih hidup atau meninggal dunia.
Selama mana kita hidup di atas dunia ini, selama itulah kita tidak pernah terlepas daripada tanggungjawab kepada ibu bapa meskipun kita telah bergelar ibu bapa kepada anak sendiri.
Mutakhir ini, trend menghantar ibu bapa ke rumah orang tua, pusat jagaan harian ataupun mengupah pekerja menjaga ibu bapa dikatakan semakin meningkat terutamanya dalam kalangan anak-anak yang sibuk bekerja di bandar.
Pendakwah, Prof Madya Dr Mohd Noor Mamat berpandangan, ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab membesarkan kita. Bermula dengan fasa melahirkan, dan sanggup bergadai nyawa menghadapi seribu macam kesakitan.
Mukjizat Buah Wain dalam Alquran
Kesusahan seorang bapa pula mengorbankan seluruh jiwa dan masa untuk meraih rezeki bagi membesarkan kita sehinggalah kesungguhan keduanya mendidik, mencurahkan kasih sayang buat si anak.
Katanya lagi, ALLAH juga menyebut perihal berbuat baik kepada kedua ibu bapa selepas tuntutan beriman dengan ALLAH dalam al-Quran. Ia jelas menunjukkan martabat ibu bapa perlu dihormati.
Apatah lagi setelah keduanya mencapai usia tua; di mana sebahagian besar masanya dikorbankan untuk membesar dan mendidik anak-anak. Sudah tentulah penghormatan, penghargaan dan keprihatinan terhadap keduanya lebih dipertingkatkan.
"Sebagai anak, kita perlu mengenang jasa keduanya yang memelihara diri kita sedari kecil dengan tatangan kasih sayang. Maka Islam menuntut agar setiap anak mendoakan kebahagiaan ibu bapanya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Isra' ayat 24.
"Dalam ayat yang lain iaitu Surah Al-Isra' ayat 23, ALLAH melarang manusia berkelakuan kasar atau menengking ibu bapa, dan mewajibkan berkomunikasi dengan suara yang rendah dan penuh penghormatan.
"Memang benar, sebilangan mengatakan kehidupan seorang manusia di dunia ini adalah suatu kitaran, bermula dari seorang bayi, kanak-kanak kemudiannya membesar menjadi dewasa dan apabila mencecah usia tua, kita sebenarnya kembali seperti kanak-kanak atau bayi. Ibu bapa yang sudah mencecah usia tua kadangkala menuntut pelbagai permintaan yang merimaskan anak-anak, kadangkala tidak difahami dan kadangkala tidak dilayan," katanya kepada Sisipan Fikry.
Mohd Noor turut berkongsi pengalamannya mengendalikan kes melibatkan pasangan remaja yang menghadapi masalah halangan ibu bapa dalam meneruskan hubungan mereka dan mohon bantuan nasihat untuk menyelesaikannya.
Labuhkan tudung, hentikan jualan tudung tak tutup aurat, kata Wanita Isma
"Setelah mendengar permasalahan tersebut, saya menyimpulkan pasangan tadi agak terdesak untuk berkahwin. Tetapi tidak mendapat restu ibu bapa remaja perempuan, dan bapanya enggan mewalikan perkahwinannya. Apabila diajukan dengan pra syarat dan kelebihan saranan mendapat restu ibu bapa terlebih dahulu, remaja perempuan tersebut agak gelisah dan keberatan.
"Bagi menyelesaikan halangan tersebut, dia mencadangkan untuk membuat laporan kepada mahkamah syariah bagi mendapatkan kebenaran perkahwinan berwalikan hakim. Antara cadangannya, dia sanggup membuat pengakuan yang bapanya tidak siuman, atau hilang tidak diketahui tempatnya, atau diragui bukan bapanya yang sebenar atau apa-apa sahaja.
"Apakah ini gambaran balasan seorang anak remaja yang dibesarkan oleh tangan kasar kedua ibu bapa tetapi begitu mudah menghina ibu bapa sendiri? Malah menafikan mereka kerana tidak sabar dengan keputusan ibu bapa, sedangkan keputusan ibu bapa tadi adalah untuk kebaikan anak-anaknya," ceritanya.
Kisah ini benar-benar menyentuh jiwanya, sekali gus menyedarkan beliau betapa angkuhnya anak-anak. Sehingga lupa kepada jasa dan pengorbanan ibu bapa.