Peraih getah didenda RM1,800 berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran

Maklumat Semasa - Peraih getah yang berkahwin dengan kanak-kanak perempuan warga Thailand berusia 11 tahun pada bulan lalu dijatuhi hukuman denda sebanyak RM1,800 atas dua pertuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Hakim Mohd. Surbaineey Hussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Che Mohd. Karim Che Hamid, 41, selepas dia mengaku bersalah setelah kedua-dua pertudahan tersebut dibacakan secara serentak.
Bagi setiap pertuduhan tertuduh dikenakan hukuman denda sebanyak RM900. Sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut dia berdepan hukuman penjara selama dua bulan.
Gempar! Gajah rempuh penonton ketika aksi sarkas
Mengikut pertuduhan pertama, Che Mohd. Karim didapati telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang kanak-kanak perempuan warga Thailand berusia 11 tahun pada 18 Jun lalu di Masjid Mukim Muno, Sungai Golok Narathiwat Thailand tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar atau Hakim Syarie.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 19 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam No.6/2002 Negeri Kelantan dan boleh dihukum di bawah Seskyen 40(2) enakmen yang sama.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah melangsungkan perkahwinan poligami dengan kanak-kanak tersebut pada tarikh dan tempat sama tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar atau Hakim Syarie.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam No.6/2002 Negeri Kelantan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie (Kanan), Nor Azizi Abdul Rahman yang memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal bagi kesalahan yang dilakukan selepas mengambil kira kehadiran dan pengakuan salah tertuduh.
Selain itu, beliau juga memohon agar hukuman yang dikenakan mengambil kira kepentingan awam, tertuduh dan terhadap isteri-isteri tertuduh berikutan kesan dan akibat daripada kesalahan yang telah dilakukan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam hadir dengan ditemani sepupunya sahaja. Isteri-isteri tertuduh termasuk isteri ketiganya yang berusia 11 tahun itu tidak hadir.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjelaskan denda tersebut. Sekiranya, tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut dia boleh dikenakan hukuman penjara selama dua bulan bagi setiap pertuduhan.