Awas merokok di Pantai Batu Burok


Maklumat Semasa - Sebanyak 172 notis kesalahan merokok di kawasan larangan dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri dalam operasi khas selama dua hari di sekitar pantai peranginan Batu Burok di sini yang berakhir semalam.

Ketua Penolong Pengarah Unit, Inspektorat dan Perundangan, Jabatan Kesihatan negeri, Mohamad Jaafar berkata, jumlah itu merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan dengan nilai kompuan sebanyak RM43,000.

Katanya, dengan kekuatan hampir 100 penguat kuasa kesihatan di samping sembilan anggota polis itu ditumpukan pada empat lokasi panas iaitu di medan selera pusat kolam renang, medan selera Batu Burok, medan selera laluan pantai dan kawasan pentas utama.

Jarang makan rambutan, Anak Mati Tercekik biji rambutan

"Tinjauan mendapati masih ramai yang tidak mematuhi peraturan walaupun banyak notis dipasang. Paling menyedihkan banyak puntung dan kotak rokok bersepah di depan papan tanda besar larangan merokok" katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pantai Batu Burok melibatkan kawasan seluas 48.85 hektar diwartakan sebagai lokasi Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) pada 13 Julai 2017 di bawah Seksyen 22 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Ini meliputi Istana Al-Mukhtafi Billah Shah hingga ke Mayang Village di samping persimpangan lampu isyarat kediaman menteri besar di Jalan Sultan Mahmud hingga ke persimpangan Warung Pak Maidin, Taman Rekreasi Pantai Batu Burok dan Medan Selera 1, jalan persinggahan di pentas budaya hingga ke bulatan Restoran A&W, pesisir pantai hingga ke Masjid Al-Mukhtafi Billah Shah (AMBS), serta jalan kelab kerajaan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Mohammad Omar memberitahu, tujuh lagi lokasi TBAR di seluruh negeri dirancang untuk dikuatkuasakan iaitu Taman Padang Astaka di Kemaman manakala di Hulu Terengganu (Tasik Kenyir), Dewan Arena Square (Dungun), Taman Awam Pulau Kekabu (Marang), Taman Awam Gong Badak (Kuala Nerus), boardwalk (Setiu) dan Kota Putera Square (Besut).

Katanya, Jabatan Kesihatan negeri telah melakukan penguatkuasaan sepenuhnya di kawasan larangan di seluruh negeri bermula bulan lalu dengan sebanyak 154 notis kesalahan dikeluarkan.

13 Perkara Yang Akan Terjadi Apabila Anda Makan Telur

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelak daripada disaman.

"Tawaran pengurangan kompaun boleh dibuat di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah terdekat di seluruh Malaysia dalam tempoh dua bulan selepas penerimaan notis. Individu yang gagal menjelaskan kompaun boleh didakwa ke mahkamah dengan denda sehingga RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya," katanya.




Sumber : UTUSAN ONLINE

Artikel Terkait

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel