Mayat lelaki OKU diserang buaya dijumpai
Maklumat Semasa - Mayat seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang dibaham dan diseret buaya ke dalam sungai Kampung Seberang Mission, Lawas dijumpai tersangkut pada ranting kayu pada jam 6.40 pagi ini.
Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat Effendi Pail, 45 tahun, dijumpai kira-kira 700 meter dari tempat kejadian.
"Semalam, anak saudara mangsa melihat sendiri buaya membaham dan mengheret mangsa ke dalam sungai," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Jelas Tiong, mayat mangsa ditemui dalam keadaan sempurna selain ada kesan calar di muka dan bahu.
Penduduk Kampung Mengamuk, Serbu Dan Bunuh Beratus-ratus Buaya
Katanya, dengan penemuan mayat berkenaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan memasuki hari kedua dihentikan serta-merta.
Ketika kejadian semalam, mangsa berada di tebing sungai untuk mengambil air sebelum dibaham dan diseret buaya.
SAR telah digerak oleh agensi JBPM, Angkata Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk orang kampung yang telah berkawal dan melakukan pemantauan sepanjang malam.
Kejadian dibaham buaya bukan perkara baharu di Sarawak dan pada 2016, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mengeluarkan kebenaran memburu buaya di 10 batang sungai yang dikenal pasti mempunyai populasi buaya tertinggi.
Sepuluh sungai terbabit ialah Sungai Batang Sadong, Sungai Tuang, Sungai Batang Krian, Sungai Seblak, Sungai Lingga, Sungai Sebuyau, Sungai Batang Lupar, Batang Saribas, Sungai Batang Baram dan Sungai Bakong.
JHS dalam kaji selidik yang dijalankan dari 2012 hingga 2014 menunjukkan bahawa 10 sungai berkenaan mempunyai kepadatan lapan hingga 14 ekor buaya untuk setiap satu kilometer dengan Sungai Batang Lupar memiliki rekod tertinggi dihuni buaya.